Saturday, June 14, 2014

Review Buku: Bangkitlah Selepas Bercerai: Mencari Ketenangan Diri




RAMAI insan yang apabila bercerai akan pergi melancong ke tempat-tempat seperti Isle Guadalupe di Mexico, Sun Valley di Idaho atau Las Vegas bagi merawat dan menceriakan hati yang terluka.

Maka, meriahlah pusat-pusat peranginan seperti ini, khasnya pada musim cuti, ketika hujung tahun atau masa perayaan tertentu apabila lelaki dan wanita yang kesunyian ini menghabisi masa bersedih bersama orang asing yang dapat menerima mereka dengan hati terbuka.

Sebenarnya... pencarian sebuah ketenangan itu tidak wajar dimulakan dari luar. Sebaliknya, ia bermula dari diri kita sendiri.

Kita mungkin boleh melancong menghabiskan ribuan ringgit bagi menghiburkan hati. Tetapi, bila tiba waktu malam atau saat terbangun daripada tidur, kesedihan itu pasti akan menggamit jiwa-jiwa yang lemah dan penuh pengharapan kepada sebuah kebahagiaan.

Tangan meraba-raba ruang kosong di sebelah tetapi cadar terasa sejuk kerana tiada penghuni. Lalu... apa reaksi kita? Tangisan mula berlagu dan kesedihan pun hadir menemani siang dan malam...

Sebenarnya, kita tetap mampu berbahagia walaupun tiada suami atau isteri di sisi kerana ia berbalik kepada diri sendiri.

Biarlah perkahwinan yang telah terbina selama ini mencapai usia 10, 11 atau 12 tahun sekalipun, namun ia bukanlah satu alasan untuk mengatakan yang kita tidak akan mampu lagi hidup bahagia dan gembira selepas kehilangannya... bercerai atau diceraikan.

Perkara yang menghalang daripada mencapai kebahagiaan ialah diri kita sendiri, bukannya orang lain. Kebahagiaan itu ada di dalam hati kita. Tiada siapa yang akan dapat mengambilnya daripada kita... kecuali sendiri. Baiklah. Sekarang saya ingin membantu cara untuk merawat hati yang terluka dan kecewa selepas perceraian.

KEYAKINAN KUNCI KETENANGAN

Langkah pertama ialah yakin bahawa semuanya akan okey. Ramai yang tidak percaya dan gagal memahami bahawa kuasa keyakinan adalah sangat hebat.

Tahukah kita bahawa suatu ketika dahulu, ramai orang percaya bahawa adalah mustahil untuk berlari sejauh sebatu dalam masa kurang empat minit, sehinggalah ia dapat dibuktikan oleh Roger Banister pada 1954? Apabila ditanya bagaimana dia boleh melakukan larian tersebut. Dia menjawab: “Saya percaya yang saya boleh melakukannya!”

Tidak sampai setahun selepas itu, hampir 40 pelari telah dapat melakukan perkara yang sama dengan catatan masa kurang daripada empat minit. Pada tahun berikutnya, seramai 300 pelari telah dapat memecahkan rekod larian kurang daripada empat minit. Perkara ini berterusan sehinggalah kini.

Kita mungkin pernah memiliki komputer ataupun mesin taip. Tetapi, pernahkah kita bertanya kenapa aksara disusun seperti yang dilihat di atas papan kekunci tersebut? Ramai orang percaya huruf-huruf disusun sebegitu dengan tujuan untuk memudahkan kerja-kerja menaip.

Namun, tahukah kita bahawa sebenarnya ia disusun sebegitu rupa dengan tujuan untuk melambatkan urusan menaip. Alasannya? Pengusaha komputer atau mesin taip itu sebenarnya bimbang sekiranya ramai orang menaip dengan laju dan cepat, ia akan mengakibatkan kerosakan pada alatan tersebut.

Apa yang penting sebenarnya ialah kepercayaan kita.

Kepercayaan serta keyakinan itulah yang menentukan had dan siapakah diri kita. Inilah juga yang menentukan apakah yang mampu kita buat. Namun, yakin adalah perkara yang mudah disebut. Tetapi, tidak ramai yang benar-benar mampu melaksanakannya. Ini dibuktikan di dalam sejarah apabila ALLAH menceritakan kisah pasukan Thalut yang menentang tentera Jalut.

ALLAH menceritakan dengan jelas:
 
Maka, tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, dia berkata: “Sesungguhnya ALLAH akan menguji kamu dengan satu sungai. Sesiapa di antara kamu yang meminum airnya, maka dia bukanlah pengikutku. Dan barang siapa tidak meminumnya, kecuali mencedok secedok tangan, maka dia adalah pengikutku.” Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Tatkala Thalut dan orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang yang telah meminum air sungai sebelum itu berkata: “Tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.” Orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui ALLAH berkata: “Bukankah telah terjadi berapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin ALLAH? Dan ALLAH bersama dengan  orang yang sabar.”  - Surah al-Baqarah: 249
 
Yakinlah bahawa semuanya akan berakhir dengan baik. Inilah salah satu syarat untuk mendapatkan sebuah ketenangan jiwa selepas bercerai. Yakinlah bahawa sekalipun keadaan tidak menyebelahi kita dan situasi nampaknya tersangat buruk seolah-olah mati pun adalah lebih baik, namun keadaan pasti akan menjadi semakin pulih serta bertambah baik.

Ucaplah bahawa dunia tidak akan menjadi kiamat dengan perceraian kita!

Katakanlah apa-apa sahaja yang dapat memberikan keyakinan!

Jangan sesekali menuturkan kata-kata putus asa!

Jangan putus asa sama sekali!
 
Jangan sesekali ingat itulah penghabisan bantuan daripada ALLAH!
 
Jangan begitu...

Yakinlah bahawa ALLAH itu Maha Penyayang dan kasih-NYA tiada penghujung. Hanya orang yang berputus asa sahaja berasa tidak yakin kepada ALLAH dan tidak percaya dengan rahmat-NYA yang Maha Luas. Sabar dan yakinlah bahawa segala-galanya akan pulih kembali.

ALLAH berfirman di dalam al-Quran:
 
Bukankah KAMI telah melapangkan untukmu dadamu? Dan KAMI telah menghilangkan daripadamu bebanmu yang memberatkan punggungmu. Dan KAMI tinggikan bagimu sebutan (nama)mu kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah ke-sulitan itu ada kemudahan. Maka, apabila kamu telah selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan ber-sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada TUHANmu-lah hendaknya kamu berharap. -  Surah al-Syarh: 1-8
 
ALLAH mengulang sebanyak dua kali dengan penegasan yang jelas bahawa pada setiap kesusahan itu pasti akan ada kesenangan dan kemudahan. Tugas kita pula adalah mempercayai dan meyakini bahawa ALLAH tidak akan mengabaikan manusia yang berharap serta meminta pada-NYA.

Bertenanglah... pilihlah jalan yang positif.

Firman ALLAH:
 
Dan hak bagi ALLAH (menerangkan) jalan yang lurus dan di antara jalan-jalan yang ditujui ada yang bengkok. Dan jika DIA menghendaki, tentulah DIA memimpin kamu semuanya (kepada jalan yang benar).  - Surah an-Nahl: 9
 
Ketenangan tidak akan dapat dicapai melalui jalan-jalan kerosakan dan membinasakan, sekalipun pada awalnya ia kelihatan mampu membawa kebahagiaan. Lumba motosikal, menikmati tubuh wanita atau lelaki dengan jalan haram, meminum arak, mengambil dadah atau melakukan pelbagai aktiviti yang salah dan rosak hanyalah membawa kepada duka lara yang berpanjangan. Ketenangan tidak akan dapat dicapai melalui kocakan air dan gelombang ombak nafsu yang membara.

Ia hanya tercapai dengan siraman kasih ILAHI dan kawalan diri yang mendamaikan jiwa. Ketenangan itu hanya boleh dicapai melalui jalan-jalan positif yang disebut sebagai ‘jalan menuju syurga.’ Ia adalah jalan menuju ALLAH. Detik kembalinya seorang hamba kepada ALLAH ialah sewaktu dia mula menginsafi kejadian dan tujuan hidupnya.

ALLAH memperingatkan:
 
Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, namun kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada ALLAH serta keredhaan-NYA. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. - Surah al-Hadid: 20
 
Kembalilah kepada ALLAH dan ingatilah DIA. Yakinlah bahawa ALLAH tidak pernah mengabaikan hamba-hamba-NYA yang berdoa dan mengingati-NYA. Jalan pulang seorang hamba itu kadangkala dipenuhi oleh onak dan duri. Ranjau kehidupan itu perlu bagi menyedarkan insan tentang betapa jauhnya kita telah tersesat daripada ALLAH.

No comments:

Lama meninggalkan dunia blogger

Assalamualaikum.. Alhamdulillah masih wujud blog ini yang lama sangat ditinggalkan... Dunia blogger yang satu masa dahulu memang menjadi min...