Saturday, August 3, 2013

Sharing: "Sebuah Rumahtangga dan Sebuah Masjid"

BAITUL MUSLIM HALAQAH NET: Sebuah Rumahtangga dan Sebuah Masjid
"Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin."
Selalu kita dengar ungkapan ini,bila ada orang berhasrat ingin mendirikan rumah tangga. "Saya nak bina masjid", atau " jika ada orang yang cuba mengugat sebuah rumah tangga dikatakan ingin meruntuh atau merobohkan masjid."
Kenapa ada bandingan antara membina rumah tangga dengan membina masjid? Ada persamaankah antara kedua-dua? Mari kita lihat bandingan sebuah rumah tangga dan sebuah masjid.
Bandingan membina masjid dengan rumah tangga dari segi konsep dan falsafah.
1. Masjid dibina kerana Allah SWT. Dilarang membina masjid dengan niat-niat yang lain. Begitulah dalam membina rumahtangga, tidak boleh dengan niat lain. Terpesong niat akan dengan mudah memusnahkan rumahtangga. Umpamanya niat berumahtangga hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan naluri atau sekadar hendak melepaskan nafsu semata-mata. Niat-niat yang tidak murni ini awal-awal lagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Tuhan tidak pimpin dalam menjalani hidup berkeluarga. Hilang keberkatan dari Tuhan. Hasilnya rumahtangga itu tidak akan tenteram. Amat perlu diingat bahawa tanda sebuah keluarga yang hilang keberkatan ialah apabila suasana tidak tenteram, sering marah-marah, sering bertengkar, hilang kasih sayang, mementingkan diri sendiri, hidup nafsi-nafsi.
2. Arah kiblat semua masjid adalah tepat. Arah kiblat yang salah membatalkan sembahyang. Semua anggota keluarga mesti memiliki niat dan arah kehidupan yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT melalui rumahtangga dan hidup berkeluarga. Barulah rumahtangga itu akan melahirkan orang-orang yang mudah sepakat, bermuafakat, seia sekata, saling memiliki rasa bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Andainya niat berumahtangga itu tidak tepat, ibarat masjid salah kiblat. Biarpun berjaya juga dibendung dari timbulnya krisis, namun rumahtangga itu hakikatnya sudah berpecah belah.Untuk sementara waktu mungkin boleh bertahan. Dan mungkin juga masih boleh bertahan kerana belum ada sebarang cabaran atau gangguan. Lazimnya sadikit saja cabaran yang melanda akan mudah rapuh dan terbarai.
3. Masjid adalah tempat membesarkan Allah SWT. Ertinya rumahtangga adalah saluran anggota keluarga membesarkan Allah SWT. Bukan tempat membesarkan dunia, nafsu dan syaitan. Rumahtangga yang sering berkrisis adalah berpunca kerana dalam diri masing-masing subur cinta dunia, subur perangai syaitan, bertunjangkan nafsu dan tabiat haiwan semata-mata. Cinta dunia, angkara nafsu dan syaitan adalah punca dunia porak peranda dan tidak ada noktah dari bermusuh dan berperang. Inilah juga akibat yang bakal ditanggung oleh rumahtangga yang memiliki faktor yang serupa. Iaitu rumahtangga yang Tuhan tidak dipedulikan, Tuhan terpinggir, Tuhan tidak dibawa bersama dalam kehidupan.
4. Masjid adalah tempat ibadah. Tempat beramal mengabdikan diri kepada Allah SWT. Masjid bukan tempat hingar bingar, bukan tempat kelakar dan lucu dengan hilai ketawa berdekah-dekah, bukan pasar yang riuh rendah tanpa haluan dan bukan juga arena konsert atau tempat menonton sebarang permainan. Ini bukan bererti tiada kegembiraan dan gurau senda dalam rumahtangga. Namun semuanya berlaku dengan penuh berdisiplin, kaya dengan adab sopan, tata susila dan ketertiban. Suasana yang aman tenteram seolah-olah dalam suasana menjaga ibadah. Seperti mana dalam masjid tiada maksiat, kemungkaran pertengkaran, kata nista, maki hamun, sumpah seranah, bertegang leher, maka begitulah suasana dalam rumahtangga.
5. Masjid adalah tempat berlakunya pengajian, majlis ilmu,nasihat menasihati dan peringatan. Secara khususnya atau rasminya adalah Khutbah Jumaat. Begitulah keadaan yang seharusnya berlaku dalam rumahtangga.Terutamanya suami, selaku ketua keluarga mesti mampu menjadi imam sembahyang, mengadakan majlis pengajian yang ringan-ringan terutama di bidang fardhu ain,adab-adab dan membaca Al-Quran. Juga mesti mampu memberi tunjuk ajar dan peringatan kepada anggota keluarga.
6. Masjid adalah tempat manusia merendah diri, berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bermaafan.Demikianlah sewajarnya terjadi dalam rumahtangga.Hidup dengan ketiadaan ego dan sombong, berkasih sayang,saling selamat dan menyelamatkan, saling menghiburkan, prihatin, setia dan bela membela. Yang tua mengasihi, manakala yang muda menghormati. Yang tidak tahu diberi tunjuk ajar, yang bersalah meminta maaf dan yang tidak bersalah memberi maaf.
7. Bangunan masjid itu merupakan gabungan berbagai komponen dan bahan binaan. Gabungan yang lengkap itulah menjadikan sempurnanya sebuah masjid. Ditambah lagi dengan berbagai ukiran yang menambahkan lagi cantiknya sesebuah masjid. Dalam konteks rumahtangga, ianya bukan setakat ikatan antara dua orang atau sepasang suami isteri itu saja. Lebih dari itu bermula dari ikatan dua orang suami isteri, terjalin hubungan antara keluarga kedua-dua pihak. Sanak saudara antara kedua pihak bertukar menjadi ikatan kekeluargaan yang lebih besar. Termasuk juga selepas perkahwinan itu akan mendapat anak, seterusnya menantu pula, maka bertambah lagi anggota keluarga. Selepas anak-anak dan menantu- menantu, datang pula cucu-cucu. Cucu-cucu pula berkahwin maka bertambah lagi jumlah anggota keluarga. Seluruh ikatan kekeluargaan itu perlu dijaga agar kekal tidak terungkai bahkan kekal utuh. Begitu besarnya fungsi rumahtangga.
Cuba bayangkan andainya berlaku perceraian antara suami isteri. Maka perceraian itu diibaratkan meruntuhkan masjid. Selain hilang peranan yang diibaratkan masjid, putus pula segala ikatan kekeluargaan antara dua pihak. Seolah-olah seluruh bangunan masjid itu runtuh. Walaupun bercerai itu tidak berdosa, namun ianya ibarat runtuhnya sebuah masjid, kesan negatif dari perceraian itu amat besar. Perceraian akan memberi kesan kepada retaknya ikatan dalam keluarga keseluruhannya.
Seperti mana masjid perlu ada penjagaan berterusan agar kekal berfungsi maka begitulah juga rumahtangga perlu sangat dijaga agar kekal hingga akhir hayat. Kalau runtuh masjid maka tiada lagi tempat tumpuan masyarakat untuk melaksanakan berbagai aktiviti kepada Tuhan mahu pun sesama manusia, demikianlah juga sekiranya runtuh rumahtangga maka akan berlaku berbagai kepincangan dalam masyarakat.
8. Masjid amat dijaga kebersihan dan kesuciannya. Habuk,debu, sawang semuanya disingkirkan. Najis memanglah sangat diawasi. Tahi cicak pun tidak boleh ada. Ini kesucian yang bersifat lahir. Orang-orang yang memasuki masjid turut menjaga kesucian batin. Masing-masing berusaha mengawasi gerak hati agar tidak menjalar sifat mazmumah sepanjang berada dalam masjid. Ertinya, sedikit sebanyak berusaha juga membuat penyucian hati. Kerana hati memang terasa diawasi oleh Allah SWT. Dengan harapan perasaan atau rasa diawasi oleh Allah SWT itu dapat dibawa keluar dari masjid.
Sama juga fungsi rumahtangga. Tempat di mana anggota keluaga menjadikannya gelangang mujahadah untuk membuang dan membakar sifat mazmumah, sekaligus menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Juga dengan harapan sifat-sifat mahmudah dapat di bawa bersama ketika berada di luar rumah bersama masyarakat. Kalau setiap keluarga berbuat perkara yang serupa, maka kesannya ialah anggota masyarakat terdiri daripada manusia yang baik-baik. Aman damailah pula masyarakat dan negara.
"Impianku menjadi isteri solehah, mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA."
by: Munaliza
Ps: Moga bukan sekadar jalanan yang sementara..yang hanya menanti waktu tiba berlalu pergi setelah ikhlas yang selalu mengiringi bagai dibiar ibarat tiada erti. Namun, demi rasa kasih dan cinta pada Ilahi.. dan anugerah yang tak terhingga diri gagah tuk terus bertahan demi satu nyawa yang minta dipertahankan... Hadirnya tatkala ada duka yang sedang direncana disebalik bahgia... Alhamdulillah... Demi dia... Untuk dia....Redha tanggung segala... Sambil mengharap ada Bahgia Tetap Milik Jua Walau Tak Seindah Segala...


No comments:

Lama meninggalkan dunia blogger

Assalamualaikum.. Alhamdulillah masih wujud blog ini yang lama sangat ditinggalkan... Dunia blogger yang satu masa dahulu memang menjadi min...