Sunday, September 1, 2013

Sharing: Bersederhana dalam mencintai atau membenci.

Bagaimana menjadi seorang bersederhana dalam mencintai atau membenci?


Bagaimana kita menerapkan prinsip wasatiyyah dalam membenci? Kita boleh mulai dengan memikirkan kembali sebab kebencian yang kita rasakan terhadap seseorang. 

Ajukan soalan di dalam hati: Mengapa Aku Membencinya?

Seringkali seseorang itu tidak tahu punca ia membenci orang lain. Dia hanya merasakan kebencian setiap kali melihat atau mendengar nama orang itu. Namun jika ditanyakan sebab kebenciannya, ia tidak dapat menjawab dengan jelas dan meyakinkan.

Sikap "membenci tanpa sebab" ini tentu sahaja sangat jauh daripada keadilan, Bahkan, orang seperti ini sebenarnya sedang menderita sakit jiwa yang harus segera diubat.

Ada juga orang membenci kerana ikut-ikutan. Fenomena ini biasanya terjadi dalam kes kebencian bermotifkan politik dan membabitkan orang awam. Sama seperti sebelumnya, sikap ini bukan sikap islami yang layak ditampilkan oleh seorang Muslim.

Sesetengah orang lain tahu faktor ia membenci orang lain. Mungkin kerana ucapan atau perbuatan orang itu yang pernah melukai perasaannya. Untuk orang seperti ini, soalan berikut harus diajukan kepadanya: 

"Apakah kebencian itu berpatutan dengan kesalahannya?"

Seringkali kebencian kita jauh lebih besar daripada sebabnya. Perkara yang sangat remeh berubah menjadi konflik yang berpanjangan kerana ego kita. Kita enggan mengalah dan bertolak ansur, padahal sikap ini sangat digalakkan oleh agama kita.

Orang yang lebih dahulu bertolak ansur dalam persengketaan petanda kebenaran berada dipihaknya. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi saudaranya lebih daripada tiga hari. Kedua-duanya berjumpa, namun saling berpaling daripada satu sama lain. Orang terbaik antara kedua-duanya adalah orang yang terlebih dahulu mengucap salam. " (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Ayyub)

Islam melarang kita melampau dalam mencinta dan membenci hingga membutakan mata kita daripada melihat kebenaran.

Firman Allah SWT:
Wahai, orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Ma'idah 5: 8)

Bacaan lanjut: Solusi Isu #29


No comments:

Lama meninggalkan dunia blogger

Assalamualaikum.. Alhamdulillah masih wujud blog ini yang lama sangat ditinggalkan... Dunia blogger yang satu masa dahulu memang menjadi min...